Pages

Tuesday, November 9, 2010

5 Perkara Mesti Tahu Bagi Pengguna Baru.

Sering kali kami dihujani dengan pertanyaan dari pengguna baru yang sering kecundang atas beberapa perkara dalam menggunakan Linux. Ada beberapa perkara yang sama dalam pertanyaan-pertanyaan ini dan kami senaraikan di sini apa yang perlu anda tahu sebelum anda bertukar ke Linux.

Jangan Keliru Konsep.

Dengan erti kata mudah, Linux bukan Windows dan Windows bukan Linux — tapi ianya mempunyai tujuan yang sama iaitu menjalankan komputer anda yang besar gedabak itu supaya boleh menjalankan perisian sekecil kalkulator untuk anda mengira 1 + 1 = 2.
Apabila anda bertukar kepada Linux ingatlah anda seperti bertukar dari memandu kereta kepada memandu kapal terbang. Ia kenderaan yang berbeza tapi tugasnya sama. Oleh itu, janganlah anda mencari Registry di Linux sedangkan ia tiada dan jangan pula anda mencari sudo apt-get install di Windows sebab itu pun tiada. Macamlah anda mencari stereng kereta yang bulat ketika membawa kapal terbang, ia memang tiada.
Konsep OS Linux dan Windows berbeza jadi buka minda, lapangkan hati tenangkan diri dan sediakan jasad anda untuk belajar sesuatu yang baru dan hebat ketika menggunakan sistem operasi sumber terbuka ini.

OS Bebas.

Selalunya, pengguna baru menyalah anggap Linux adalah OS tertutup seperti Windows yang meminta anda membayar lesen bagi setiap komputer yang menggunakannya. Konsepnya berbeza sekali, Microsoft menganggap OSnya adalah hak miliknya dan ia memberikan anda caj sewaan untuk menggunakannya — Linux pula sebaliknya.
Ia bebas untuk diolah, digubah dan digunakan oleh sesiapa sahaja — gunakannya tanpa was-was. Kerja yang anda buat darinya berkat, rezeki darinya pun halal berbanding anda membayar RM 10 untuk cetak rompak untuk membuat kerja dengan alasan kami pelajar kalau tak guna cetak rompak memang tak boleh buat kerja.
Matlamat tak menghalalkan anda mencuri hak orang — anda bukan darurat sehingga tiada alternatif. Gunakan OpenOffice kalau tak mampu guna Microsoft Office. Tapi cuba teka, orang masih nakkan juga� benda cetak rompak. Kadang-kadang orang ini jugalah yang berkongsi lagu-lagu secara tidak sah dengan kawan-kawan atas alasan tak mampu nak beli album original. Nanti tak dengar lagu, tak boleh buat kerja pula, katanya. Huh?!

Linux Hanyalah Kernel.

Mungkin kelebihan Windows bagi pengguna biasa adalah sifat similariti antara mukanya yang memudahkan ia diadaptasi secara global. Sedangkan Linux ada pelbagai jenis perasa atau distro. Ini sering mendatangkan kekeliruan bagi pengguna baru, kerana tutorial Ubuntu mungkin tak boleh dipakai dalam OpenSUSE.
Untuk menyenangkan pemahaman, anggaplah Linux sebagai enjin OS macam enjin kereta Mitsubishi. Dari enjin yang sama inilah boleh dihasilkan kereta Mitsubishi Lancer dan boleh juga dijadikan Proton Wira. Begitu juga Linux atau lebih tepat kernel Linux. Anda boleh ubah kernel Linux menjadi satu sistem operasi lengkap mengikut budaya dan citarasa anda.
Untuk mengatasi kepelbagaian ini maka sebab itu kami memperkenalkan dan menekankan tutorial Ubuntu berbanding penggunaan distro lain. Dan kenapa orang ramai memanggil Linux OS sedangkan ia hanyalah kernel — tidak lain dan tidak bukan sebab ia memakai enjin yang sama.

Bebas Bukan Bererti Percuma.

Oleh kerana terma dalam bahasa Inggeris perkataan Free itu membawa dua maksud iaitu percuma dan bebas. Ia sering menjadi satu alat untuk orang menghentam kami bila kami menjual CD Ubuntu. Ada yang berkata, mana boleh jual Linux ni. Bukan dia prohibited untuk dijual ke? — Hmmm…mula-mula kata tak boleh jual lepas tu tanya pula boleh jual ke tak.
Suka cita kami merujuk pada ayat dalam lesen yang Linux gunakan iaitu GPL yang tertulis dengan jelas lagi nyata:
When we speak of free software, we are referring to freedom, not price. Our General Public Licenses are designed to make sure that you have the freedom to distribute copies of free software (and charge for them if you wish), that you receive source code or can get it if you want it, that you can change the software or use pieces of it in new free programs, and that you know you can do these things.
Dalam bahasa Melayu mudahnya anda bolehlah menganggap Linux seperti air sungai yang diberikan Tuhan untuk manusia minum secara percuma tak ada apa-apa caj. Tapi kenapa anda masih perlu bayar bil air bila tiap kali anda meneguk air di paip?
Jawapannya, mudah. Ia bukan caj untuk air tapi caj perkhidmatan yang diberikan. Jika anda inginkan air percuma — itu hak anda, anda boleh ambilnya sendiri dari sungai. Tapi jika anda tidak mampu, mungkin uzur atau sakit dan memerlukan seseorang membawanya kepada anda. Anda perlu upah orang.
Begitu juga kami, itu hak anda jika hendak muat turunya dari internet dan memasangnya sendiri tapi tidak semua ada internet yang laju dan tidak semua sanggup bertanya pada pak cik Yahoo! atau Google bila ada masalah. Di sinilah perkhidmatan kami membantu mereka yang memerlukan ini.

Tak Boleh Jalan.

Ini juga salah satu konsep yang sering disalah fahami pengguna baru apabila mereka kecewa perisian Windows yang boleh diklik seperti Setup.exe atau Install.exe tak boleh jalan dalam Linux — secara lalai.
Seperti yang disentuh dalam topik di atas, Linux mempunyai sistem yang berbeza dengan Windows melainkan anda memasang satu aplikasi yang dipanggil WINE barulah perisian yang .exe ini dapat dijalankan.
WINE bertindak seperti menterjemah perisian Windows supaya boleh difahami dan diadaptasi Linux.
Kami harap penerangan ringkas ini dapat memberikan anda idea awal tentang migrasi dari Windows kepada Linux dan harap anda berjaya dalam migrasi ini. Berusahalah!

0 comments:

Post a Comment